Friday, April 1, 2011

Umrah 2011 - Part 4

Mutawwif bawa kumpulan kami masuk Masjidil Haram melalui BabusSalam. Seksa sikit aku sebab ada sedikit turun naik tangga. Mereka yang dah pernah datang sebelum ini mengingatkan jangan bawak kamera atau telefon.


Orang dah ramai sedang tawaf. Mutawwif bawa kami sedekat mungkin Hajar Aswad untuk mula tawaf.


'Bissmillahi Allahu Akbar Walillahil hamd.' Lambai Hajar Aswad dan kucup tangan.


Mula melangkah. Aku pegang bahu Ayong kemas kemas. Orang Turki dan India agak kasar mencelah dan menolak.


Aku dan Ayong terpisah dari kumpulan. Kami sekadar berdaya mengikut arus pergerakan puluhan ribu jemaah yang sedang tawaf. Ada ketika kami hanyut hingga menyentuh dinding kaabah di antara Rukun Syami dan Rukun Yamani. Ramai orang India/Afghanistan/tak pasti bangsa apa tapi bukan orang Asia lah yang melekapkan diri mereka ke dinding Kaabah dan berdoa [?] dengan penuh emosi.


Alhamdulillah. Walaupun tidak berpeluang langsung mendekati Hajar Aswad tapi aku dan Ayong dapat menyelesaikan tujuh pusingan tawaf tanpa insiden. Oleh kerana terpisah terus dari kumpulan, kami menggunakan buku kecil yang dibekalkan GEMILANG untuk merujuk zikir tertentu bagi setiap pusingan. Oleh kerana zikirnya memang telah sedia kami ingat, itu memudahkan kami fokus semasa tawaf tanpa perlu risau lupa bilangan.


Semasa tawaf, ramai yang siap ambil self-video. Lampu flash camera tak berhenti dari segenap ceruk masjidilharam. Besoknya kami bawak kamera.


Sebaik lesai sembahyang sunat di Multazam, kami terus beredar untuk meneruskan Sai'e. Amat bersyukur kerana kami terus sahaja berada di pintu bukit Safa sebaik keluar dari kawasan tawaf. Kalau tidak pasti kelam kabut juga mencari di mana nak mula Sai'e. Dan sekali lagi kami amat bersyukur kerana dapat tumpang sekumpulan jemaah dari Malaysia untuk mulakan Sai'e.


Bagaimanapun aku dah terlalu letih. Terpaksa berjalan terlalu perlahan. Ayong pujuk guna kerusi roda. Aku menolak. Nak juga sempurnakan Sai'e dengan berjalan. Kedua tumit pecah teruk dan mula bengkak. Kaki juga bengkak teruk. Memang rasa tak larat dah nak berjalan. Rasa nak terkencing tapi tandas jauh sangat. Jadi walaupun rasa terlalu haus, terpaksa tahan kerana takut nak minum. Entah berapa kali berhenti, basuh muka dan basuh kaki dengan air zam zam yang amat dingin. Rasa segar sikit.


Berjaya menghabiskan Sai'e hampir jam 3.00 pagi. Tak larat nak balik hotel. Lagipun tak pasti arah mana. Ke tandas yang terlalu jauh di luar. Jam hampir 4.00 pagi baru cuba luruskan belakang di dalam masjid, azan suboh berkumandang. Berwudu' dengan air zam zam dan bersedia solat. Tunggu punya tunggu, jam 5.15 azan sekali lagi. Rupanya di Masjidil Haram azan suboh dua kali. 


Lepas suboh nampak ahli kumpulan. Ikut mereka balik hotel. Sarapan nasi lemak sambal ikan bilis. Aduhai! Nikmat tak terhingga.


Naik ke bilik. Mandi dan tidor. 


Cik Nor rakan sebilik bawa kan makan tengahari ke bilik. Jutaan terima kasih, Cik Nor. Allah saja dapat membalas budi baik puan.


MasyaAllah! Sepanjang aku tido tengahari tu, rupanya hujan lebat menyimbah Tanah Haram.


Asar, kami berempat rakan sebilik kongsi teksi ke masjid. 10 Riyal. Cik Nor ajak kami sembahyang di lapangan tawaf tempat paling hampir dengan Kaabah. MasyaAllah. Semakin hampir waktu solat, semakin padat tempat tu.. Orang orang Arab dan Turki yang bertubuh sasa mencelah dan menghimpit. Seorang Arab di atas kerusi roda elektrik, menjerit suruh semua orang ketepi bagi membolehkan dia lalu untuk ke depan. Sapa yang lambat menepi dilanggarnya macam kain buruk aje. Herannya kemana dia nak pergi sedangkan kawasan tu kiranya dah macam tin sadin. Punyalah luasnya kawasan Masjidil Haram bertingkat tingkat, kenapa perlu berebut begitu seolah mengetepikan usaha orang yang dari awal datang sanggup menunggu di bawah terik mentari untuk sujud hampir dengan Kaabah. Astaghfirullah. Berdosakah aku kerana punya fikiran begitu?


Walaupun mungkin imanku jadi kurang tebal, selepas kejadian itu aku lebih rela mencari tempat yang tidak menjadi rebutan jemaah di tingkat dua masjid menghadap pancur emas. Begitupun untuk sampai ke kawasan itu, kadangkala terpaksa juga melintas di depan jemaah yang sedang solat di tengah laluan. Heran sungguh kerana ramai yang berebut nak kan juga solat depan Multazam sedangkan ruang lain banyak yang kosong. Mungkin lepas ni kerajaan Saudi perlu bina lebih tingkat depan Multazam.


Well, I managed to develop a simple routine. Jam 4.00 pagi bangun dan bersiap ke masjid. Selesai solat, berjalan balik ke hotel untuk sarapan dan rehat. Lepas makan tengahari, aku dan Ayong terus ke masjid sehingga selesai Isyak. Balik ke hotel makan malam. Selang sehari keluar ke Tana'im untuk berihram dan terus kerjakan umrah lagi. Ada satu kepuasan walaupun berada dalam kesakitan sepanjang masa.

No comments: